Oleh: Ustaz Mohd syauqi bin othman
Pada tanggal hari Isnin minggu hadapan... Insya allah kita akan menyambut 1 Ramadhan. Apakah kita sudah bersedia untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan itu?
Ibadah puasa yang difardukan oleh Allah pada bulan Ramadhan mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri, akan tetapi adakah umat Islam kini benar-benar menghayati falsafah dan rahsia puasa Ramadhan yang diwajibkan ini? Terdapat sebahagian umat Islam yang berasa gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan hanya semata-mata kerana teringatkan juadah makanan yang beraneka jenis dan rupa. Ada pula yang langsung tidak menghiraukan usaha untuk mencari keberkatan Ramadhan, sebaliknya sibuk membuat persiapan untuk menyambut ketibaan hari raya. Bulan puasa belum lagi menjelma, tetapi persiapan hari raya sudah pun dibuat.
Sekiranya umat Islam pada hari ini menghayati falsafah dan hikmah di sebalik kewajipan berpuasa, nescaya setiap individu muslim akan membuat persediaan rapi menyambut kedatangan Ramadhan dan akan berlumba-lumba untuk memanfaatkan Ramadhan dengan sebaik mungkin, serta bulan Ramadhan akan menjadi bulan yang paling bermakna dalam hidupnya. Hanya orang yang kenal dengan kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Betapa besarnya fadhilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami daripada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud: "Apabila masuk bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu semua iblis dan syaitan".
Puasa Ramadhan diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam untuk melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183. Oleh itu, sewajarnya setiap individu muslim mengambil peluang yang luas yang telah disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan untuk mendidik diri kearah ketakwaan kepada Allah serta mendapat pengampunan daripadaNya. Untuk mempastikan agar mendapat ketakwaan, seseorang itu hendaklah membuat persiapan awal untuk berpuasa dengan 'cara yang sebenarnya' sebagaimana yang dikendaki oleh Islam, iaitu dengan berpuasa secara 'khusus al-khusus' seperti yang dijelaskan oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali.
Puasa bukanlah setakat menahan perut daripada makan, minum dan melakukan hubungan seksual di antara suami isteri pada siang hari semata-mata, akan tetapi puasa yang mempunyai kualiti ialah puasa yang menyeluruh, termasuk menjaga pancaindera serta hati nurani daripada terjebak dalam sebarang unsur maksiat. Puasa sebeginilah yang akan menghasilkan ketakwaan kepada Allah. Setiap orang harus bertanya pada diri, mampukah dia melaksanakan puasa dengan cara sedemikian?. Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.
Pada suatu hari, Rasulullah menaiki mimbar (untuk berkhutbah), menginjak anak tangga pertama baginda mengucapkan 'amin', begitu pula pada anak tangga kedua dan ketiga. Selesai solat para sahabat bertanya, mengapa Rasulullah mengucapkan 'amin'? Lalu baginda menjawab, malaikat Jibril datang dan berkata: Suatu kerugian kepada seseorang yang bila namamu disebut, dia tidak mengucapkan solawat atasmu, lalu aku mengatakan amin. Kemudian malaikat berkata lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai masuk syurga, lalu aku mengucapkan amin. Kemudian katanya lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya, lalu aku mengucapkan amin. Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad.
Dalam kegembiraan menyambut puasa di bulan Ramadhan, kita seharusnya memahami dengan sejelas-jelasnya akan hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna. Ibadah puasa melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna.
Puasa juga dapat melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa. Hanya orang yang berpuasa sahaja dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan ini, diharapkan seseorang muslim itu agar sentiasa prihatin dan memberikan bantuan serta sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan. Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya.
Dr. Yusof al-Qaradhawi pula dalam bukunya 'al-'Ibadah fi al-Islam', telah menggariskan beberapa rahsia yang terdapat dalam amalan berpuasa. Antaranya ialah:
Puasa dapat menguatkan roh dan jiwa. Seterusnya jiwa yang kuat dapat mengawal nafsu.
Menyehatkan jasmani dan badan.
Mendidik kearah melakukan kebaikan.
Mengenal nilai nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada makhluk.
Dapat merasai penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh orang lain.
Setelah mengetahui beberapa rahsia dan hikmah puasa Ramadhan, maka kita hendaklah mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangannya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Antara persiapan yang boleh dilakukan bagi menyambut kedatangan Ramadhan adalah seperti yang berikut:-
1. Mengulangi kembali ilmu yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan pedoman yang baik dan sempurna. Ilmu mengenai puasa termasuklah yang rukun, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, adab berpuasa dan sebagainya.
2. Membuat persiapan dari segi rohani dengan memperbanyakkan taubat kepada Allah dan bermaafan sesama manusia.
3. Memperbanyakkan doa agar Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari sifat riak, ujub dan daripada segala rupa penyakit hati yang menghilangkan pahala puasa.
4. Menguatkan semangat untuk melaksanakan puasa dengan sempurna agar kita memperoleh ketaqwaan kepada Allah s.w.t.
5. Bersedia untuk memperbanyakkan amalan-amalan soleh dan amalan-amalan kebajikan di dalam bulan Ramadhan dengan melaksanakan amalan soleh sebaik mungkin di bulan Syaaban ini.