Friday, October 17, 2008

Konsep Rumah Terbuka

Fenomena dalam menyambut hari raya dalam masyarakat kita akhir-akhir ini ialah dengan mengadakan ‘rumah terbuka’. Konsep rumah terbuka ini adalah sesuatu yang baik sekiranya dilaksanakan mengikut lunas-lunas dan ajaran Islam yang mulia. Namun, apabila ia dilaksanakan dengan mengabaikan tuntutan syarak, maka ia tidak lagi menjadi ibadat sebagaimana yang diharapkan.

Antara tujuan mengadakan ‘rumah terbuka’ ialah untuk menghidupkan amalan ziarah-menziarahi pada hari raya. Sebagaimana yang dimaklumi, amalan saling ziarah menziarahi pada hari raya merupakan tradisi yang disyariatkan di dalam Islam.

Namun, kadang-kala berlaku, sesetengah orang tidak akan menziarahi rakan taulannya melainkan setelah dibuat ‘rumah terbuka’. Seolahnya amalan ziarah tertakluk kepada adanya rumah terbuka. Sekiranya tiada rumah terbuka, maka amalan ziarah tidak akan dilakukan pada hari raya. Sedangkan apa yang dikehendaki oleh Islam ialah, amalan ziarah-menziarahi itu hendaklah dilakukan bagi menghubungkan ikatan silaturrahim dan hubungan yang erat dalam kalangan umat Islam walaupun dengan ketiadaan ‘rumah terbuka’.

Apa yang lebih penting ialah amalan saling ziarah- menziarahi di antara satu sama lain seperti menziarahi orang tua, saudara-mara, kaum kerabat, jiran, para guru dan sahabat-handai sebenarnya tidak terbatas dengan adanya ‘rumah terbuka’ atau pada hari raya sahaja, tetapi ia perlulah dilakukan dari semasa ke semasa demi mengukuhkan ikatan ukhuwwah dan persaudaraan sesama kita.